FEBRUARI 2025

Premier Temui Ahli-Ahli Parlimen, Senator GPS


KUALA LUMPUR: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg pada malam Isnin telah mengadakan perjumpaan dengan ahli-ahli Parlimen dan Dewan Negara GPS di Ibu Negara sempena sesi Parlimen Penggal Keempat Parlimen Ke-15. 

Dalam pertemuan tersebut ahli-ahli Parlimen dan ahli-ahli Dewan Negara dari GPS telah diberi pencerahan mengenai perkara-perkara yang melibatkan kuasa perundangan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak yang disampaikan oleh Peguam Besar Negeri, Dato Sri Saferi Ali.

Mereka juga turut diberi pencerahan mengenai situasi banjir di Sarawak, bantuan-bantuan kepada mangsa dan rancangan pasca banjir oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Haji Mohammad Abu Bakar bin Marzuki. 

Antara yang hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusuf, Presiden Dewan Negara, Dato Awang Bemee bin Ali Basah, Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri Persekutuan dari GPS.